Search

Tuduhan Jeffrey bohong, cubaan tutup pengkhianatan sendiri – Suhaimi Nasir

March 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan tuduhan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan kononnya UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) tidak menepati janji pada PRN16 lalu sebagai satu pembohongan dan cubaan menutup pengkhianatan beliau sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pertembungan ‘friendly contest’ pada PRN16 tidak boleh dianggap sebagai pelanggaran janji kerana gabungan ketika itu adalah satu pakatan longgar yang dibentuk untuk menumbangkan Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya diumumkan secara rasmi pada hari penamaan calon, 12 September 2020.

“Sebelum itu, rundingan hanya berlaku di antara BN dan Perikatan Nasional (PN), sementara PBS masih berteka-teki. Oleh itu, sebarang pertembungan BN dan PBS ketika itu tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan.

“Jeffrey jangan lupa bahawa STAR sendiri yang mengkhianati kesepakatan dengan meletakkan calon menentang BN di kerusi yang dimenangi BN pada PRU 2018 iaitu di DUN Paginatan dan DUN Sook.

“Selain itu, STAR juga meletakkan calon menentang PBS di enam kerusi lain, mencerminkan sikap oportunis mereka walaupun hanya memiliki dua kerusi sebelum PRN16 iaitu Bingkor dan Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, pengkhianatan lebih besar berlaku pada PRN16 apabila PN turut ‘merestui’ calon bebas ‘Mesra PN’ untuk menentang BN.

“Selepas menang, mereka diterima masuk ke dalam kerajaan. Bukankah ini satu pengkhianatan terang-terangan?

“Pendek kata, yang tidak boleh dipercayai ialah Jeffrey dan PN sendiri, bukan BN,” katanya.

Justeru itu, Suhaiki berkata Jeffrey tidak layak berbicara soal kesetiaan dan kepercayaan kerana rekodnya sendiri membuktikan sebaliknya.

Menerusi satu kenyataan sebelum ini, Jeffrey yang juga Presiden STAR mendakwa UMNO Sabah gagal menepati janji yang dibuat sebelum PRN16 pada September 2020 dan atas sebab itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak layak menerima kepercayaan rakyat.

Ahli Parlinen Keningau itu mendakwa, hanya dua hari sebelum hari penamaan calon pada PRN16, UMNO Sabah dan BN bersetuju untuk bertanding di 27 kerusi, namun mengingkari perjanjian itu dan akhirnya bertanding di 41 kawasan. – Info X