Search

Banjir : Mangsa dipindah meningkat, 1,248 orang berlindung di PPS

March 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Sabah meningkat kepada 1,248 orang 396 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,190 orang malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Kota Marudu kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 957 daripada 311 keluarga berbanding 912 mangsa daripada 290 keluarga, malam tadi.

Situasi di PPS daerah dilanda banjir di utara dan pantai timur Sabah.

Ia diikuti daerah Sandakan yang kekal seramai 132 mangsa daripada 32 keluarga dan Beluran juga kekal dengan seramai 92 mangsa daripada 26 keluarga.

Selebihnya, seramai 46 mangsa daripada 15 keluarga di Paitan, meningkat berbanding 33 mangsa daripada 10 keluarga malam tadi.

Di Matunggong, seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga yang dipindahkan setakat malam tadi juga kekal dan begitu juga di Pitas yang kekal 10 mangsa daripada enam keluarga.

Semua mangsa dipindahkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua daerah terbabit setakat ini. – Info X