KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), pada Khamis menganjurkan program khidmat komuniti di Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut sempena Ramadan.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS bagi memperkukuh nilai murni, selain menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Ramzah Dambul, yang mengetuai program itu, berkata sebagai sebuah institusi penyelidikan yang menumpukan pembangunan dasar dan kesejahteraan sosial, IDS memainkan peranan penting sebagai juara akar umbi.
Katanya, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap kebajikan warga emas, memperkasa nilai kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan IDS serta memberi sokongan moral dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.
Jelasnya, pelaksanaan program itu juga selaras dengan nilai kemanusiaan yang ditekankan sepanjang bulan Ramadan, yang mana masyarakat digalakkan untuk menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Sukarelawan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa pasukan untuk melaksanakan aktiviti khidmat komuniti. Pasukan pertama menjalankan aktiviti gotong-royong bagi memastikan kebersihan dan keselesaan kawasan sekitar serta bahagian dalam bangunan.
“Pasukan kedua menyediakan perkhidmatan penjagaan diri seperti menggunting rambut bagi penghuni di sana, manakala pasukan ketiga menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif bagi menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan dengan warga emas, sekali gus membawa kegembiraan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ramzah berkata, sebagai tanda keprihatinan, IDS turut menyampaikan sumbangan berupa barangan penjagaan diri dan makanan kepada penghuni rumah kebajikan itu sebelum mengakhiri lawatan.
Katanya, program itu bukan sekadar inisiatif kebajikan tetapi juga satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara IDS dan masyarakat.
“Kami percaya bahawa pembangunan holistik bukan hanya tertumpu kepada dasar dan ekonomi tetapi juga kepada kesejahteraan sosial.
“IDS komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menanam nilai-nilai keprihatinan dalam kalangan kakitangan kami.
“Bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk kita menghulurkan bantuan dan menyemai kasih sayang kepada mereka yang memerlukan, khususnya warga emas yang sering terpinggir,” katanya.
Menerusi inisiatif itu, katanya IDS berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat bagi memperkukuh budaya keprihatinan sosial di Sabah.
Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak berkepentingan dalam sektor kebajikan.
Turut hadir ialah Pegawai Penguasa, Tuan Jahidi Sahibin; Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Kota Kinabalu, Hajan Salam dan Pasukan Sukarelawan IDS. – Info X