Search

Hajiji minta UPPM perjelas inisiatif kerajaan kepada akar umbi

March 21, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta pemimpin masyarakat khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) supaya memainkan peranan utama untuk memperjelaskan semua inisiatif kerajaan ke peringkat akar umbi.

Beliau turut meminta pemimpin UPPM untuk memberi kerjasama kepada semua wakil rakyat termasuk pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan masing-masing.

“Sebagai mata dan telinga kerajaan, khidmat pemimpin masyarakat seperti pegawai UPPM dan pemaju mukim amat penting. Terus lipatgandakan usaha membantu wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian komponen dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh itu amat penting untuk UPPM menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan dan bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun.

“Saya menegaskan perkara ini kerana seperti mana yang kita sedia maklum bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya, justeru kita kena bersatu hati agar GRS diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa UPPM, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation Berhad kali kedua tahun 2025 di Kompleks Sukan Keningau, pada Khamis.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, asnaf, warga emas dan ibu tunggal selain wang ihsan kepada mangsa banjir di Keningau.

Hajiji turut meminta kepada semua ahli parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) supaya memberi sokongan padu kepada pemimpin GRS terutama mereka yang diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

“Saya tidak mahu ada yang sabotaj atau tidak memberi kerjasama. Jika saya dapat tahu ada ahli terutama dari GRS yang tidak memberi sokongan kepada calon-calon GRS, kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya.

“Saya mahu GRS terus kuat dan kita terus bersatu hati serta memantapkan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang kerap digunakan sebagai modal pembangkang di negeri ini.

“Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk cakap kita sebagai kerajaan gagal. Mereka pun tahu bahawa masalah ini kita warisi sejak dari dulu.

“Namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini. Tapi inilah pembangkang, mereka tiada modal lagi,” katanya. – Info X