Search

PRN17: GRS atau GRS Plus diputus selepas Aidilfitri – Jeffrey Kitingan

March 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mungkinkah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding 73 kerusi atau bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk pakatan GRS Plus pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) ?

Persoalan itu dijangka terjawab selepas sambutan Aidilfitri nanti apabila parti komponen GRS bermesyuarat mengenai agihan kerusi dan soal kerjasama dengan parti lain.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada pelancaran pejabat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Luyang, di sini, pada Jumaat.

“Dua pilihan akan dipertimbangkan, sama ada bertanding sebagai GRS atau GRS Plus dalam perbincangan yang akan diadakan selepas Adilfitri nanti,” katanya.

GRS menggabungkan lapan parti tempatan Sabah iaitu STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti komponen GRS, Jeffrey berkata pihaknya sudah menghantar cadangan agihan untuk semua berdasarkan formula yang ditetapkan, namun belum dibincangkan.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden STAR berkata bagi parti pimpinannya, pihaknya terbuka untuk bertanding di semua kawasan, termasuk di Luyang yang pengundi majoritinya adalah masyarakat Cina.

Bagaimanapun, katanya keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan potensi untuk memenangi kerusi yang mahu ditandingi parti itu.

Katanya, sebelum ini STAR menyasarkan sebanyak 16 kerusi negeri, termasuk di kawasan bandar yang majoriti pengundi Cina berdasarkan keyakinan penerimaan rakyat terhadap parti tempatan.

“Saya berasa lebih yakin sekarang berbanding sebelum ini bahawa masyarakat Cina lebih mengutamakan parti tempatan.

“Ini membolehkan kita menjadi lebih kukuh seperti Sarawak dan bekerjasama untuk mencapai aspirasi kita, menjamin hak kita, termasuk hak istimewa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada September 2020, STAR memenangi enam daripada lapan kerusi yang ditandinginya ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) iaitu Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Tulid dan Paginatan.

Semua kerusi terbabit terletak di pedalaman Sabah dengan majoriti pengundinya adalah masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM). – Info