TUARAN: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menyenaraikan 10 projek baharu bernilai RM702 juta untuk dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi di bawah Pusingan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang bermula tahun depan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia menjadikan 14 projek disenaraikan agensi pembangunan dan pelaburan Sabah itu setakat ini, termasuk empat projek sedia ada sebelum ini.
“Kita berharap permohonan SEDIA ini akan mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Kampung Lok Batik, di sini, semalam.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA turut memuji kejayaan agensi itu mengekalkan rekod sijil tanpa teguran dari segi pengurusan kewangan daripada Ketua Audit Negara selama 15 tahun berturut turut.
Beliau bagaimanapun mengingatkan agar agensi itu meningkatkan pemantauan pelaksanaan semua projek di bawah kawalannya bagi memastikan sebarang masalah
berbangkit dapat diselesaikan segera.
Sementara itu, Hajiji berkata dalam tempoh dua tahun ini SEDIA juga berjaya menjalankan penyelidikan dan persidangan mengenai sektor yang berpotensi untuk membangunkan aktiviti ekonomi Sabah.
“Dengan pembiayaan daripada Kementerian Ekonomi, SEDIA sudah menyiapkan Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah yang menyediakan satu pelan strategik dan komprehesif untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan di kawasan sempadan di Sipitang, Nabawan, Kalabakan dan Tawau.
“Kawasan-kawasan ini terletak secara strategik berhampiran Kalimantan Utara, Brunei dan
Sarawak dengan sembilan sektor ekonomi berpotensi tinggi dikenal pasti boleh diterokai di kawasan itu,” katanya.
Sektor ekonomi itu, katanya termasuk pelancongan berasaskan komuniti, perikanan dan akuakultur, industri hiliran minyak sawit, biokimia, biofuel dan perdagangan rentas sempadan.
Katanya, aktiviti itu dijangka dapat meningkatkan nilai tambah kasar kepada sumber sedia ada sebanyak 330 peratus kepada RM1.6 bilion dan membuka 10,660 peluang pekerjaan menjelang 2040.
Selain itu, katanya satu kajian kebolehlaksanaan mengenai penternakan kerang berdarah yang dijalankan SEDIA dan Jabatan Perikanan Malaysia dan Sabah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai di Tawau, Semporna, Tuaran, Kudat, Beluran dan Teluk Padas Beaufort.
“Projek Kerang Berdarah ini adalah yang pertama di Sabah dan ia dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu lebih daripada 3,000 orang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerjasama yang dijalin antara SEDIA dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) berjaya menilai dan membimbing 10 kajian tempatan di Sabah yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Hajiji berkata Sabah juga dipilih sebagai medan ujian pengunaan dron pengangkutan penumpang dan kargo yang bakal dilakukan di lokasi yang akan dikenal pasti menerusi kerjasama SEDIA dan FUTURISE Berhad, sebuah syarikat Kementerian Kewangan Persekutuan.
“SEDIA telah melaksanakan lebih daripada 1,275 projek sejak 2009 melalui RMKe-9 hingga ke RMKe-12. Dalam tempoh itu, SEDIA diperuntukkan sejumlah RM3.8 bilion dengan RM3.1 bilion telah disalurkan.
“Daripada jumlah itu, lebih kurang 90 peratus atau RM2.8 bilion sudah
dibelanjakan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi, people-centric, program pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan.
“Melihat kepada inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan itu, saya mahu agar SEDIA dan agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk sentiasa mencari rakan strategik supaya dapat meneroka bidang-bidang baharu yang berpotensi menjana pendapatan dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya. – Info X