Search

PBNS agih sumbangan kewangan RM438,000

March 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) mengagihkan sumbangan kewangan berjumlah RM438,000 kepada pelbagai pihak yang dikenal pasti setakat ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM309,000 diagihkan sepanjang Ramadan ini.

Katanya, sumbangan Ramadan itu diagihkan melalui aktiviti Jelajah Jalinan Kasih, Shopping Raya dan aktiviti kebajikan lain yang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini.

Omar menyerahkan sumbangan kewangan PBNS kepada institusi penerima.

“Ini adalah usaha dan komitmen PBNS sebagai sebuah keluarga atau sahabat yang sama sepakat dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan, sama ada yang ringan ataupun yang berat, wujud permuafakatan dalam mengerjakan sesuatu, sama-sama menanggung susah dan senang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jalinan Kasih Ramadan PBNS, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PBNS, Awang Syairin Awang Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Ismail Mohd Adnan dan Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut
Muslim Se-Malaysia, Nicholas Sylvester.

Omar berkata, menerusi teras pertama PBNS, iaitu Pembangunan Syiar, badan itu merancang strategi dan pelan tindakan untuk memantapkan Pentadbiran Kumpulan Wang Amanah Baitulmal yang melibatkan dana sedekah, fidyah, kaffarah, wang tidak patuh syariah dan harta pusaka.

Katanya, dana itulah yang dikumpul dan diagihkan kepada pelbagai pihak yang dikenal pasti memerlukan sokongan daripada badan baitulmal itu.

“Dana yang dikutip dan diterima ini diagihkan melalui skim bantuan seperti bantuan untuk institusi tahfiz, madrasah, masjid dan surau, KAFA dan aktiviti dakwah bagi memperkukuhkan syiar Islam di Sabah,” katanya.

Omar berkata, sejak mula beroperasi pada 2005, PBNS sentiasa menikberatkan kebajikan masyarakat di Sabah dan sentiasa berusaha ke arah meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.

Beliau berkata perkhidmatan itu khususnya dalam menyediakan bantuan terutama berkaitan pembangunan syiar, ekonomi dan pemantapan tadbir urus serta sistem penyampaian yang menjadi teras kepada pelan strategik PBNS.

“Tiga teras ini ditetapkan bagi menterjemah aspirasi PBNS sebagai Peneraju Maslahat Ummah,” katanya.

Terdahulu, mengenai majlis berkenaan, Omar berkata ia adalah satu platform untuk memperkukuh hubungan tanpa mengira usia, latar belakang, mahupun status.

“Dengan berbuka bersama, kita bukan sahaja berkongsi rezeki
tetapi juga berkongsi kasih sayang, kegembiraan dan keberkatan Ramadan ini.

“Semoga melalui majlis ini, hubungan kita akan lebih erat dan saling memberi manfaat. Semoga Allah SWT memberkati setiap langkah kita dalam mengimarahkan bulan yang penuh berkat ini dan semoga kita semua diberikan kekuatan untuk terus beramal ibadah dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Sempena majlis itu, PBNS menyerahkan sumbangan kewangan kepada 11 institusi tahfiz, madrasah, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan persatuan selain sumbangan tunai kepada 30 pelajar Ma’ahad Tahfiz Miftahul Ulum Kampung Tanjung Aru Baru.

Ma’ahad tahfiz berkenaan turut menerima sumbangan kewangan sebanyak RM5,000, diikuti Madrasah Tahfiz Nur ASBEH, Madrasah Darul Hadis Bongawan, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu, Madrasah Pendidikan Tahfiz Al-Quran Nurul Furqan dan Pertubuhan Himpunan Alumni Al-Azhar Sabah.

Penerima selebihnya ialah Pertubuhan Inspirasi Prihatin Sabah, Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia, Hidayah Centre Foundation Cawangan Sabah, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Masjid Kampung Jawi-Jawi Kota Belud dan Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacobkhan Membakut. – Info X