KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri di Tuaran, hari ini.
Program yang dijadual bermula pada jam 5 petang itu diadakan di Padang Istiadat Daerah Tuaran.
Sempena majlis itu, Anwar dijangka menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak yatim, asnaf dan fakir miskin, ibu tunggal wakil rumah kebajikan, masjid serta surau yang terpilih.
Beliau dijangka tiba di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada jam 3.10 petang sebelum bergerak ke Tuaran.
Sejurus tiba di pekarangan Padang Istiadat Daerah Tuaran pada kira-kira jam 4 petang, Perdana Menteri dijadual melawat Jualan Rahmah di hadapan Dewan Seri Sulaman.
Anwar kemudian ke Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Daerah Tuaran mendengar Taklimat Pembangunan Negeri Sabah bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia adalah lawatan pertama Anwar selaku Perdana Menteri ke Tuaran yang juga daerah kelahiran Ketua Menteri Sabah.
Perdana Menteri dijadual kembali ke ibu negara sejurus selesai program di Tuaran pada kira-kira jam 7.30 malam.
Kira-kira 10,000 orang dijangka menghadiri majlis itu. – Info X