KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di pantai timur Sabah dijangka lebih stabil dengan siapnya kerja menaik taraf talian penghantaran elektrik Segaliud-Dam Road, dari Sandakan ke Lahad Datu.
Ketika ini, Sabah Electricity sedang dalam peringkat akhir untuk menyiapkan projek naik taraf talian penghantaran itu dari 132kV kepada 275kV.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata kerja akhir untuk menaik taraf talian itu dilaksanakan bermula 22 Mac hingga 29 Mac ini.
Apabila dimula tugas pada pertengahan April depan, katanya, ia membolehkan penyaluran lebih banyak kapasiti tenaga dan murah dari stesen janakuasa di pantai barat ke pantai timur.
“Usaha ini seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber penjanaan berasaskan diesel dan MFO yang agak mahal dan memerlukan tanggungan subsidi yang sangat tinggi dari pihak kerajaan.

“Talian penghantaran 275kV Segaliud-Dam Road yang bakal dimula tugas pada pertengahan April depan dapat meningkatkan penghantaran tenaga daripada 200MW kepada 400MW secara harian ke kawasan pantai timur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, Sabah Electricity menyasarkan kerja menaik taraf disiapkan sebelum Aidilfitri bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terganggu dan sentiasa dalam keadaan terbaik serta stabil bagi menampung beban sepanjang musim perayaan.
Maklumat terkini dan pertanyaan mengenai perkhidmatan Sabah Electricity, pengguna boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di 15444 atau Whatsapp 019- 852 5427 atau muat naik aplikasi Sabah Electricity. – Info X