Search

KPDN Sandakan tingkatkan pemantauan ketirisan barangan kawalan

March 25, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan meningkatkan pemantauan ketirisan barangan kawalan di perairan Sandakan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata operasi dilaksanakan menerusi kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Beliau berkata, operasi bersepadu itu bertujuan membanteras penyelewengan barang kawalan seperti minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), diesel dan petrol di perairan Sandakan.

“Operasi kali ini memberi tumpuan kepada pemeriksaan di jeti-jeti perdagangan termasuk jeti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang menguruskan operasi jualan diesel bersubsidi kepada nelayan berdaftar.

“Fokus utama adalah terhadap barangan yang dikendalikan di jeti-jeti terbabit. Semuanya empat jeti diperiksa dalam operasi kali ini,” katanya yang mengetuai operasi itu, pada Isnin.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi itu, sebanyak tiga aset APMM digerakkan, membabitkan seramai 15 anggota Maritim Malaysia, tiga anggota KPDN dan tiga anggota JPDS.

Azdy mengetuai operasi pemantauan ketirisan barang kawalan di jeti perdagangan di Sandakan.

Azdy berkata, pemeriksaan keseluruhannya mendapati pengendali jeti mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN.

Beliau mengingatkan, berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata, KPDN Sandakan akan meneruskan operasi penguatkuasaan seumpama itu sebagai usaha berterusan untuk membanteras ketirisan barang kawalan di Sandakan.

KPDN Sandakan juga katanya sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga.

“Pengguna boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada KPDN dengan menyalurkan butiran aduan yang lengkap menerusi saluran-saluran rasmi aduan KPDN,” katanya.

Katanya, aduan boleh disalurkan melalui Whatsapp 019 848 800, portal aduan http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1 800 886 800, Emel: e [email protected], Aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement
Command Centre): 03 – 8882 6088 / 6245 dab Surat Rasmi ke Pejabat KPDN berdekatan. – Info X