KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon dijangka bakal diletakkan sebagai calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Sebelum memasuki kancah sepak terajang politik, Henry, 49, secara aktif terlibat dalam pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) iaitu Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia), dan kini memegang jawatan timbalan presiden pertubuhan itu.
Henry mula menyertai pasukan Liga Perdana Sabah pada 1997 dan beliau kemudiannya menyarung jersi pasukan Johor FC pada tahun 2002 sebelum kembali bermain dengan pasukan Sabah pada 2004 sehingga 2009.
Selepas berehat panjang dalam bola sepak, Henry kembali bersama skuad Sabah pada 2019 sebagai pengurus pasukan.
Kehadiran semula Henry dalam skuad Sabah ternyata membawa tuah apabila beliau berjaya mengurus pasukan sehingga muncul juara Liga Perdana, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi pasukan itu seterusnya layak beraksi di Liga Super.
Pada tahun 2018, Henry yang berasal dari Kampung Bongol, Kiulu mula berjinak-jinak dalam arena politik.
Penyertaannya dalam arena politik semakin ketara selepas beliau dilantik sebagai Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada tahun 2023 yang pada ketika itu diterajui Datuk Peter Anthony.
Kesibukan berpolitik tidak menjadi halangan kepada Henry untuk memburu kejayaan dalam bidang pendidikan.
Dengan berkat usaha gigih, beliau berjaya memperolehi Diploma Sains Politik dari Univesiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dan yang terbaharu, Henry kini di peringkat akhir menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Sains Politik dari universiti yang sama dan dijangka menerima skrol pada majlis konvokesyen pada hujung tahun ini.
“Seperti juga sukan bolasepak, saya melihat bidang politik ini cukup mencabar.
“Apapun berbekalkan pengalaman saya sebagai pemain Sabah, pengurus pasukan bola sepak Saban dan timbalan presiden badan NGO, saya sedia mengharungi cabaran ini dan sedia menabur bakti untuk kawasan saya sendiri di DUN Kiulu,” katanya.
Sebelum ini, bekas pemain Sabah dan bekas pemain kebangsaan Baddrol Bakhriar telah bertanding dalam PRN di DUN Gurun, Kedah dan berjaya memenangi kerusi itu dengan bergaya.
Adakah Henry mampu mengecapi kejayaan Baddrol? Jawapannya hanya dapat diketahui apabila lebih 16,000 pengundi Kiulu keluar mengundi pada PRN yang diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
DUN Kiulu kini diwakili Datuk Joniston Bangkuai daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X