Search

Sindiket jual ayam tidak sah berlindung di sebalik ‘DESA’

March 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Produk DESA digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengelak perbuatan sindiket menjual produk ayam beku tidak sah dihidu pihak berkuasa.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, tiada sebarang kesalahan dilakukan pihak DESA, cuma jenama syarikat itu digunakan sindiket dengan meletakkan kotak tertera jenama mereka di hadapan barangan yang disyaki tiada permit sah.

“Briged Sabah PGA ingin memberikan penjelasan mengenai satu tangkapan dan rampasan yang berlaku pada 22 Mac 2025 iaitu sepasukan pegawai telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang disyaki membawa produk haiwan iaitu ayam sejuk beku import.

“Dalam pemeriksaan itu, pemandu serta kelindan lori gagal mengemukakan dokumen pemilikan yang sah bagi barangan yang ditemui dalam lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan mengambil tindakan merampas semua barangan itu bagi siasatan lanjut mengikut kesalahan Enakmen Haiwan Sabah 2015.

“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan untuk siasatan dan tindakan lanjut Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa iaitu dengan meletakkan produk DESA di bahagian ruangan hadapan simpanan sejuk beku lori manakala barangan ayam beku yang tidak ada dokumentasi diletakkan di bahagian dalam lori.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati produk DESA tidak terlibat dengan sebarang kesalahan menyalahi undang-undang. Kami ingin menekankan bahawa rampasan ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang diterima dan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Tindakan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan pengendalian produk makanan.

“Kami menyedari bahawa imej produk yang dikongsikan dalam posting media sosial telah menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai khususnya berkaitan dengan DESA GROUP.

“Kami ingin menegaskan bahawa rampasan yang dilakukan tidak ada kaitan dengan produk DESA dan sebarang gambaran yang memberikan kesan sebaliknya adalah tidak tepat,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan tugas untuk memelihara ketenteraman awam dan keselamatan makanan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk DESA GROUP dan pengeluar lain untuk memastikan bahawa semua produk makanan yang berada di pasaran mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan. – Info X