Search

Jualan Khas Semarak Syawal di 16 lokasi Pasar Tani di Sabah dan Labuan

March 27, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seramai 487 usahawan menyertai Program Semarak Syawal 1446H dan Jualan Khas Industri Makanan Asas Tani (IMAT) Negeri Sabah dengan anggaran jualan mencecah RM1 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata selain di Pasar Tani Kekal Keningau, Jualan Khas Semarak Syawal turut diadakan di 15 lokasi lain di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, bermula hari ini.

Katanya, antara lokasi utama program itu termasuk Pasar Tani Kinabatangan, Tapak Pasar Tani Sabindo Tawau, Wisma Persekutuan Sandakan, Pasaraya Econsave Lahad Datu, Perkarangan Milimewa Semporna, Perkarangan Kedai Kien Hiong Ranau dan Labuan Walk di Labuan.

“Kita berharap agar program ini akan menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan usahawan melalui pelbagai aktiviti jualan dan kempen promosi yang dianjurkan di Pasar Tani seluruh negara,” katanya ketika melancarkan program itu di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani KPKM, Datuk Muhammad Ammir Haron dan Pengarah FAMA Sabah, Sarman Sidno.

Mengulas mengenai Program Semarak Syawal 1446H dan Jualan Khas Industri Makanan Asas Tani (IMAT) Negeri Sabah, Arthur berkata ia mewujudkan platform bagi membantu masyarakat tempatan membuat persediaan awal dalam menyambut Syawal dengan mendapatkan bekalan keperluan harian yang berkualiti dan berpatutan.

Arthur mengagihkan barangan keperluan untuk persiapan Syawal pada program Jualan Khas Semarak Syawal FAMA di Keningau.

Beliau berkata, program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu menyediakan akses langsung kepada produk segar dan berkualiti.

Katanya, ia juga memudahkan pengguna mendapatkan hasil pertanian, produk asas tani dan barangan keperluan Syawal dengan jaminan kualiti dan harga yang berpatutan.

“Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada usahawan Pasar Tani dan Industri Asas Tani (IAT) untuk menawarkan produk mereka secara langsung kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program jualan itu hari ini bersesuaian dengan jangkaan ketibaan 1 Syawal pada 31 Mac ini.

“Shubungan itu, tarikh program yang bermula pada 27 Mac 2025 adalah amat sesuai selaras dengan jangkaan tarikh Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Antara pengisian program Semarak Syawal termasuk penyampaian promosi Jualan Happy Hour bagi produk IMAT dan ayam segar serta jualan khas seperti Bakul MADANI Raya, Kombo Agro MADANI MyRakyat serta Kombo Bakul Raya dengan potongan harga istimewa,” katanya. – Info X