BELURAN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi termasuk dua wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Kampung Buis Kiabau, Telupid, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 40 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Tiga mangsa cedera iaitu wanita berusia 45 tahun, remaja perempuan dan lelaki berusia 16 dan 14 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.02 malam.
“Kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton disyaki terbabas sendiri. Terdapat empat mangsa terbabit.
“Dua mangsa wanita telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Telupid, manakala seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (rescue tools).
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang dijalankan lima anggota bersama jentera ditamatkan pada jam 11.30 malam. – Info X