KINABATANGAN: Hujan lebat berterusan di daerah ini sejak beberapa hari lalu menyebabkan air Sungai Kinabatangan meningkat melebihi paras bahaya dan mengakibatkan banjir di beberapa lokasi rendah sejak Rabu.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinabatangan, Kampung Pangkalan Bukit Garam paling terjejas akibat bencana itu dengan seramai sembilan keluarga dipindahkan ke bangunan lama balai raya kampung berkenaan.
Tindakan awal itu kemudian disusuli pengisytiharan bencana banjir oleh Pengerusi Bencana Daerah pada jam 4.45 petang Rabu dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di SK Bukit Garam.

Banjir ketika umat Islam meraikan hari ketiga Aidilfitri itu turut menyebabkan tujuh kampung terputus hubungan iaitu Sangau, Balat, Litang, Dagat, Tidung, Buang Sayang dan Sri Manis. – Info X