KOTA KINABALU: Ramai penduduk yang rumah mereka terjejas akibat banjir di Kinabatangan enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana makanan yang disediakan tidak menyelerakan, selain bimbang keselamatan harta benda yang ditinggalkan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan, di sini, berkata ia antara punca PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, Kinabatangan pada Rabu lalu hanya menempatkan satu keluarga mangsa sehingga semalam.
“Pada 2 April (Rabu) banjir diisytiharkan di Kinabatangan pada jam 4.45 petang berikutan paras air Sungai Kinabatangan melebihi tahap bahaya dan PPS SK Bukit Garam diaktifkan pada jam 6 petang.
“Kemudian, agensi penyelamat yang terdiri daripada polis, APM dan bomba melaksanakan hebahan pemindahan kepada penduduk tetapi tiada mangsa mahu berpindah dengan bacaan mangsa di PPS kekal kosong.

“Mangsa memberi alasan menunggu paras air dalam sedikit, takut kecurian barang-barang, selain makanan di PPS tidak menyelerakan dan sedikit,” katanya.
Situasi sama, katanya berterusan pada Khamis lalu apabila tiada mangsa mahu berpindah ke PPS walaupun paras air Sungai Kinabatangan semakin meningkat.
Berikutan itu, katanya, pihak APM dan agensi lain yang terbabit dalam operasi pemindahan mangsa banjir berusaha memujuk penduduk untuk berpindah ke PPS menerusi satu arahan pengosongan rumah penduduk pada jam 9 pagi semalam.

“Hasilnya, satu keluarga mangsa akhirnya berpindah ke PPS. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) kemudian mengaktifkan Arahan Pengosongan Kawasan yang membabitkan balai raya dan semua rumah dalam lingkungan radius 100 meter dari Jeti Pangkalan, Kinabatangan,” katanya.
Katanya, arahan pengosongan kawasan turut membabitkan penduduk di Kampung Muhibbah, Muhibbah Tengah dan Muhibbah Hujung, Kinabatangan oleh pihak polis dan APM Kinabatangan.
Arahan itu, katanya menggunakan punca kuasa Seksyen 4C (1) (b) Akta Pertahanan Awam yang memberi kuasa kepada anggota APM untuk melakukan pemindahan mangsa sama ada secara sukarela atau paksa dan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No 1 yang menetapkan pengisytiharan kawasan Zon Merah sebagai satu kawasan bencana.
“Pengisytiharan yang dibuat mengambil kira keselamatan mangsa berada pada tahap kritikal iaitu kenaikan paras air menyebabkan aliran air bertambah deras dan kemampuan aset pasukan penyelamat untuk bertindak dalam satu masa seandainya keadaan bertambah buruk.
“Ia juga mengambil kira risiko bahaya reptilia pemangsa bertambah kerana masyarakat sering bermain air dan risiko jangkitan penyakit berpunca daripada air dan kencing tikus.
“Pengisytiharan itu turut memudahkan pasukan keselamatan melaksanakan pemantauan kerana kawasan terbabit menjadi kawasan larangan awam,” katanya.

Berikutan pelaksanaan arahan itu, katanya akhirnya jumlah mangsa yang berpindah ke PPS meningkat dengan data terbaharu setakat jam 4 petang ini seramai 132 mangsa daripada 29 keluarga. – Info X