KOTA KINABALU: Permohonan dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa.
Menegaskan perkara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan, berkata semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Tegasnya, JPN tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya walaupun permohonan disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.
“Sebarang surat sokongan, minit cadangan atau permohonan daripada mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik, Agensi Kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan, tidak memberi sebarang jaminan automatik terhadap kelulusan sesuatu permohonan.
“Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat seperti semakan fakta dan dokumen serta siasatan latar belakang pemohon,” kata kenyataan itu.
Kenyataan JPN itu bagi memberi penjelasan kepada surat tular bertarikh 26 April 2019 yang didakwa mengandungi minit oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu berkaitan sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Semporna.
Ia merujuk kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan ketika menerajui kerajaan negeri antara 2018 hingga 2020.
Menerusi kenyataan itu, JPN menjelaskan bahawa MyKAS adalah dokumen pengenalan diri Pemastautin Sementara yang diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.
Jelasnya, pemegang MyKAS tidak memperoleh sebarang kelebihan kewarganegaraan, sebaliknya perlu memenuhi syarat-syarat ketat sebelum boleh memohon status MyPR (Pemastautin Tetap) dan seterusnya MyKAD (Warganegara), bergantung kepada tempoh permastautinan dan kelayakan yang ditetapkan.
“Walau bagaimanapun, bagi pemegang MyKas yang diluluskan secara bertempoh setiap lima tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal-usul mereka juga, seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
JPN menegaskan bahawa jabatan itu sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri.
“Sebarang maklumat lanjut dan sahih, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi dan mengikuti saluran media sosial rasmi JPN,” katanya. – Info X