KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Bersatu Sabah menyifatkan serangan pembangkang terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak kebelakangan ini sebagai tindakan akibat ‘kepanasan’.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah, berkata pembangkang semakin terdesak apabila melihat gerak kerja kerajaan negeri yang semakin terlaksana.
Katanya, serangan bertali arus sejak Ramadan lalu itu sesuatu yang amat menyedihkan kerana ia sepatutnya menjadi medan atau gedung untuk membentuk keperibadian yang syumul, kamil dan membugarkan tali ukhuwah.
“Dengan serangan tanpa henti ini, saya menafsirkan pembangkang sebenarnya semakin kepanasan, atau penasaran dengan gerak kerja Hajiji yang semakin terlaksana, teratur, mengikut perancangan dan lebih penting dapat menyantuni serta disambut baik oleh rakyat jelata.
“Situasi antara tindakan pembangkang atau ‘haters’ dengan gerak kerja yang dijalankan berterusan oleh Hajiji jelas memberikan dua gambaran warna sisi yang berbeza, iaitu hitam dan putih.
“Hitam merujuk kepada tingkah laku buruk dan terlalu kebudak-budakan pembangkang dan haters terhadap DSP Hajiji sehinggakan perkara remeh iaitu kebolehan berbahasa Inggeris pun ingin dijadikan bahan untuk membandingkan Hajiji dengan pemimpin kebanggaan mereka.
“Walhal, sudah berapa ramai pemimpin luar negara melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri kita ini, tiada satupun yang mengadu mengalami kesukaran memahami komunikasi yang DSP Hajiji gunakan dalam bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam hal lain, Aksyah berkata tindakan pemimpin UMNO cuba menjatuhkan kredibiliti Hajiji dengan membongkar isu kelulusan lesen mencari gali (PL) syarikat Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHUSB) sebagai langkah terdesak yang gagal.
Katanya, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Mineral Management (SMM), Ketua Menteri tidak akan melakukan perkara bertentangan dengan peruntukan undang-undang berkaitan kuasa melulus apatah lagi melibatkan kepentingan negeri dan dana awam.
“Beliau tidak akan menggunakan kuasanya selaku Ketua Menteri atau Pengerusi untuk memberikan kelulusan secara membuta tuli. Semua keputusan dibuat berdasarkan suara majoriti Ahli Lembaga Pengarah SMM.
“Malahan, sebelum sesuatu perkara seperti kelulusan lesen itu diangkat ke Mesyuarat ALP, satu jawatankuasa teknikal akan menilai terlebih dahulu keseluruhan maklumat syarikat pemohon termasuklah kemampuan untuk menjalankan kerja eksplorasi berkenaan.
“Selain itu, apa yang pembangkang risaukan dengan kelulusan ini, satu sen dana awam atau kerajaan tidak digunakan, malahan syarikat pemohon bertanggungjawab penuh mengeluarkan dana sendiri untuk memulakan kerja berkenaan,” katanya sambil menambah luas kawasan penerokaan juga dikurangkan kepada 43,490 ekar berbanding 153,205 ekar yang dipohon,” katanya. – Info X