Search

Seleweng diesel bersubsidi, 2 lelaki dtahan KPDN

April 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan selepas disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai dengan memiliki tangki tambahan di sebuah stesen minyak, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah ketika sedang mengisi minyak.

Ketika ditahan, pemeriksaan mendapati, kedua-dua kenderaan iaitu pacuan empat roda Isuzu D-Max diubahsuai dengan tangki tambahan manakala lori panel pula membawa tangki berlebihan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kedua-dua kenderaan ditahan hasil pemeriksaan yang dijalankan pasukan operasi di stesen minyak di kawasan Inanam dan Luyang.

Katanya, pemeriksaan menghasilkan tiga kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menahan dua warga tempatan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Pasukan operasi turut menyita dua kenderaan yang disyaki diubahsuai untuk melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Selain itu, pasukan operasi turut mengambil tindakan terhadap pemilik stesen kerana disyaki melakukan pelanggaran mengikut akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dua kenderaan yang ditahan di sebuah stesen minyak di Kota Kinabalu.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan dan minyak diesel bersubsidi yang disita dianggarkan bernilai RM45,752.50.

Sehubungan itu, Shahril Nizam berkata, KPDN Sabah akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan terutamanya barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Sementara itu, Sharil Nizam berkata masyarakat diminta supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat yang jelas dan lengkap berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Tangki plastik berkapasiti 1,000 liter yang disimpan di dalam lori berkenaan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 019-848 8000 atau e-mel ke [email protected].

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat panggilan KPDN ditalian 1-800-886-800 atau menerusi Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X