KOTA KINABALU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pelancong China menggunakan teko kaca dalam satu insiden di Plaza Tanjung Aru, minggu lalu.
Tertuduh, Hong Kian Eng, 57, seorang peniaga, dan Wong Kouh Ming, 48, seorang kontraktor, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun dengan menggunakan sebuah teko kaca sebagai senjata, pada 4 April 2025 kira-kira jam 1.40 petang, di pejabat di Plaza Tanjung Aru.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin tempatan, dan menetapkan 3 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yuvan a/l Bharathan. – Info X