Search

JPN yang berkuasa, bukan saya, kata Shafie

April 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Yang berkuasa ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan saya,” tegas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu menjawab tuduhan yang mendakwa beliau menyokong penduduk bukan warga negara mendapatkan dokumen pengenalan diri ketika menjadi Ketua Menteri Sabah antara 2018 hingga 2020.

Perkara itu merujuk kepada surat yang disebarkan di media sosial memaparkan sokongan Shafie terhadap permohonan penduduk bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri seperti MyKAS untuk pemastautin sementara, MyPR untuk pemastautin tetap dan MyKAD untuk warga negara.

Beliau yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Rabu, membidas tindakan pihak yang mempolitikkan sokongannya terhadap permintaan rakyat berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sebagai pemimpin, beliau tidak sampai hati menolak permintaan rakyat lebih-lebih lagi yang datang dari jauh semata-mata meminta sokongan daripadanya berhubung masalah dokumentasi yang dihadapi mereka.

Katanya, beliau hanya menyatakan sokongan, namun keputusan terhadap permohonan mereka tetap tertakluk kepada peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan, khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku pihak bertanggungjawab memproses permohonan orang ramai.

Beliau juga berkata tidak tahu status individu yang meminta sokongan daripadanya, sama ada mereka adalah rakyat Sabah atau pendatang.

Shafie disambut pemimpin dan penyokong Warisan di KKIA.

“Kita selaku insan manusia, kita selaku pemimpin dan orang datang dari kampung, datang dari Keningau, datang dari Tongod minta surat sokongan untuk buat IC (kad pengenalan), macam mana saya tahu dia semua orang Sabah. Macam mana saya tahu dia pendatang atau bukan?

“Yang berkuasa ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan saya. Tapi, takkanlah saya tolak orang datang dari Tongod, dari Pensiangan dan bawa (surat) untuk minta tolong. Ini berlaku di Sabah, ada anak-anak Sabah sendiri,” katanya.

Shafie berkata, atas sebab itu sebelum ini ada program pendaftaran bergerak dilaksanakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum bagi membantu penduduk pedalaman yang berdepan masalah dokumen pengenalan diri.

“Ada keluarga anak lima orang, satupun tiada kad pengenalan, tapi bukan saya yang boleh menentukan. Yang menentukan ialah jabatan yang ada kuasa.

“Saya selaku pemimpin pada waktu itu, kita tolong. Nanti kalau datang di pejabat lagi tidak boleh tanda tangan, kita dikatakan pemimpin sombong, tapi (permohonan) itu bukan saya punya kelulusan,” katanya.

Beliau berkata kesahihan permohonan yang disokongnya juga adalah bidang kuasa JPN untuk menentukannya kerana beliau menerima banyak surat yang meminta sokongan daripadanya.

“Bila masa saya ada kuasa untuk buat IC di Malaysia ini, buat apa? saya bukan Menteri Dalam Negeri, saya bukan Jabatan Pendaftaran. Sama ada surat itu betul atau tidak betul, saya pun beribu surat datang kepada saya.

“Saya pemimpin tapi kita bukan jenis manusia yang tidak layan manusia, orang kecilpun saya layan, orang matipun saya hantar balik dari Kuala Lumpur ke Sabah. Bukan boleh mengundi orang mati itu,” katanya. – Info X