KOTA KINABALU: Sabah FC akan memastikan kedudukannya di tangga ketiga Liga Super musim ini dipertahankan setelah kembali ke kedudukan itu selepas menewaskan PDRM FC di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendalinya, Martin Stano, berkata beliau gembira dengan pencapaian anak buahnya berjaya meletakkan semula Sang Badak di tangga ketiga Liga Super walaupun hanya menang tipis 1-0 ke atas PDRM.
Katanya, kedudukan itu akan dijaga sebaik mungkin dalam dua lagi baki perlawanan Liga Super musim ini bagi memastikan sasaran Sabah untuk mengekalkan kedudukan di tangga ketiga liga tercapai.
Mengenai perlawanan malam tadi, Stano mengakui ia bukan mudah setelah kira-kira sebulan anak buahnya tidak bermain dalam perlawanan yang kompetitif bermula sejak Ramadan lalu hingga sambutan Aidilfitri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mengembalikan rentak permainan, lebih-lebih lagi menerima tekanan daripada pasukan lawan yang dilihat lebih bersedia menyekat aksi tuan rumah.
“Ia bukan satu permainan yang mudah terutama selepas Ramadan dan Hari Raya selama sebulan, kita tidak bermain permainan yang kompetitif, jadi agak sukar untuk kita kembali.
“Pada separuh masa pertama, pemain memberikan banyak ruang kepada lawan dan mereka dapat mencipta beberapa peluang, hanya pada babak kedua kita dapat bermain dengan lebih baik.
“Tapi, pada akhirnya, kita perlu rasa gembira kerana mendapat tiga mata di Stadium Likas. Kita satu langkah lebih dekat dengan sasaran kita untuk menjaga kedudukan di tangga ketiga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Aksi malam tadi menyaksikan Sabah mencipta jaringan tunggal menerusi tandukan Dominic Tan di hadapan gawang PDRM pada minit ke-42.

Sementara itu, Stano berkata empat pemain Sabah FC dijangka tidak dapat diturunkan pada perlawanan akan datang selepas dilayangkan kad kuning kedua ketika perlawanan malam tadi.
Katanya, ketiadaan pemain terbabit iaitu Saddil Ramdani, Muhammad Jafri Firdaus Chew, Park Taesu dan Daniel Ting terpaksa diganti pemain lain.
Berikutan itu, katanya beliau perlu melakukan perubahan dalam barisan kesebelasan utama pasukan apabila bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. – Info X