KOTA KINABALU: UMNO Sabah meminta kerajaan negeri memperincikan pelaksanaan skim perlindungan berkelompok yang akan diberi secara percuma kepada kira-kira 3.5 juta rakyat Sabah.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata ia termasuk mekanisme pengurusan, sumber pembiayaan dan indikator kejayaan yang jelas.
“Langkah seperti ini akan menjadikan dasar itu lebih telus, mampan dan benar-benar bermanfaat kepada rakyat Sabah dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan pemberian skim perlindungan insurans kemalangan kepada setiap rakyat tempatan Sabah yang diluluskan Kabinet Sabah pada mesyuaratnya, semalam.
Skim insurans berkelompok itu ditawarkan menerusi syarikat insurans milik kerajaan negeri, Progressive Insurance Bhd dan diberikan secara automatik kepada penduduk yang berumur antara satu bulan hingga 80 tahun.
Menerusi skim itu, rakyat Sabah memperolehi insuran perlindungan diri secara percuma bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian sebanyak RM500.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata UMNO Sabah mengambil maklum dan menghargai usaha kerajaan negeri memperkenalkan skim itu bagi memberikan perlindungan insurans kemalangan percuma kepada rakyat Sabah.
Jelasnya, langkah itu pada dasarnya mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Bagaimanapun, dari sudut dasar awam dan pengurusan fiskal, pelaksanaan skim ini wajar dinilai secara strategik dan teliti agar matlamatnya dapat dicapai secara mampan dan menyeluruh.
“Pertamanya, tempoh pelaksanaan skim yang hanya meliputi tiga tahun (1 Mei 2025 hingga 30 April 2028) menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan dasar ini dalam jangka panjang.
“Tanpa perancangan lanjutan atau kerangka dasar yang lebih luas, inisiatif seperti ini berisiko menjadi dasar sementara yang tidak memberikan kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan sosial.
“Kedua, pemilihan Progressive Insurance Bhd, syarikat milik kerajaan negeri, sebagai pelaksana utama juga perlu dilihat dari sudut tadbir urus yang baik.
“Penjelasan mengenai proses pelantikan, sama ada melalui tender terbuka atau rundingan terus, adalah penting untuk memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan dana awam,” katanya.
Suhaimi berkata, mekanisme pemantauan prestasi pelaksanaan juga belum dijelaskan secara terperinci.
Beliau berkata, keberkesanan skim itu bergantung kepada keupayaan sistem pentadbiran untuk mengendalikan tuntutan secara cekap, telus dan mesra rakyat.
“Ketiadaan sistem pemantauan yang jelas berpotensi mengurangkan tahap kepercayaan rakyat terhadap skim ini.
“Dari aspek perlindungan, jumlah pampasan RM10,000 dan khairat kematian RM500 dilihat tidak mencukupi dalam konteks kos kehidupan masa kini, terutamanya bagi keluarga yang berdepan kehilangan pencari nafkah.
“Ini menuntut penilaian semula agar jumlah perlindungan lebih relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Aspek pelaksanaan juga, katanya memerlukan perhatian, terutama kaedah pelaksanaan secara automatik.
Jelasnya, tanpa penjelasan bagaimana data penduduk diselaras sama ada melalui JPN, Jabatan Kesihatan atau agensi lain, risiko pertindihan data, pembaziran dan keciciran penerima mungkin berlaku.
“Yang paling utama adalah aspek fiskal. Menanggung kos premium untuk 3.5 juta penduduk pastinya memerlukan komitmen kewangan yang besar.
“Sekiranya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, adalah penting untuk mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan kepada peruntukan sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur luar bandar.
“Keupayaan kewangan jangka panjang kerajaan negeri juga perlu dinilai secara berhati-hati, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan hasil negeri,” katanya. – Info X