Search

Kertas Putih isu SFI, SDB dibentang jika Warisan kembali memerintah – Terence

April 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan akan membentangkan Kertas Putih berhubung isu Sabah Forest Industries (SFI) dan Sabah Development Bank Berhad (SDB) jika kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presidennya, Terence Siambun, berkata Kertas Putih itu perlu dibuat bagi membolehkan rakyat Sabah mengetahui punca kedua-dua entiti milik kerajaan negeri itu menunjukkan prestasi yang buruk di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya telahpun mengusulkan kepada kepimpinan tertinggi parti bahawa sejurus membentuk Kerajaan Negeri yang baharu, Kertas Putih akan disediakan bukan hanya untuk SFI tetapi juga untuk Sabah Development Bank Berhad (SDB) dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah cukup bosan dengan segala macam penyalahgunaan kuasa dan rasuah sama ada dari peringkat tertinggi mahupun daerah.

Jelasnya, perkara itulah yang menjadi punca utama mengapa Sabah kekal menjadi negeri termiskin di Malaysia sehingga ke hari ini.

Terdahulu, beliau meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki atau mana-mana menteri Kerajaan Perpaduan untuk memberikan penerangan mengenai status laporan dibuat SFI di agensi itu.

“Saya merujuk kepada saman yang dibuat oleh SFI dan Penerimanya (Receivership) terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini.

“Saya mendapat tahu bahawa pada 5 Disember 2024, SFI telah membuat laporan SPRM mengenai kegiatan pengalihan dan pengeksportan kayu balak dari kawasan konsesi balak milik SFI oleh sebuah syarikat bernama Salico Asia Sdn Bhd tanpa kebenaran dari SFI.

“Walaupun SFI telah diisytiharkan muflis pada 15 November 2021, SFI berjaya dalam rayuan Penangguhan Prosiding-nya (Stay Order) dan pada 8 November 2024, Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa konsesi balak yang dicerobohi ini masih dimiliki oleh SFI.

“Ini bermakna pengalihan dan pengeksportan kayu balak oleh Salico Asia Sdn Bhd tanpa kebenaran dari SFI ini adalah salah tetapi mengapakah syarikat ini berani berbuat demikian?,” katanya.

Terence berkata, perkara penting dalam isu itu ialah pencerobohan, pengalihan dan pengeksportan kayu balak dari kawasan konsesi balak SFI dibuat setelah Ketua Menteri membatalkan konsesi (yang dimiliki oleh SFI) pada 16 Ogos 2021.

Dakwanya, oembatalan konsesi SFI itu menyebabkan Kerajaan Negeri Sabah kini berdepan dengan saman bernilai RM1.2 billion yang mungkin menjadi saman pembatalan konsesi yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

“Tetapi perkara yang menjadi kemusykilan saya dalam kemelut SFI ini ialah ketiadaan sebarang maklum balas dari SPRM selepas SFI membuat laporan pada 5 Disember 2024.

“Perkara yang sama juga dilihat dalam isu rampasan tanah yang dialami oleh komuniti Orang Asal di kawasan pedalaman sepanjang lims tahun GRS mentadbir negeri ini.

“Beberapa laporan SPRM dibuat oleh Malaysia Human Rights Organization (MHO) pada 2023 tetapi kita tidak mendengar sebarang penangkapan dibuat.

“Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah kita masih mendengar komuniti Orang Asal Sabah di pedalaman berdepan dengan tindakan pengusiran dari tanah yang nenek moyang mereka telah terokai seperti di Mansiat, Sook.

“Oleh yang demikian, saya minta jasa baik dari Ketua SPRM, Azam Baki atau mana-mana menteri dari Kerajaan Perpaduan untuk memberikan penerangan kepada kita semua apakah sebenarnya status berkaitan dengan laporan-laporan ini,” katanya. – Info X