KOTA KINABALU: Penyanyi popular tanah air kelahiran Sabah, Stacy bakal mengadakan konsert solo mega pertama di negeri kelahirannya pada Jun depan.
Konsert yang diberi nama ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ itu bakal berlangsung pada 21 Jun bermula jam 8 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Stacy berkata, konsert itu bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah persembahan yang mencurahkan sepenuhnya kreativiti dan dedikasi beliau terhadap seni pentas, hadiah teristimewa buat warga Sabah.
“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, khas untuk orang Sabah dengan penceritaan kerjaya saya selama 17 tahun lebih dalam industri.
“Saya ingin bawakan malam yang bermakna dan penuh nostalgic sebagai tanda terima kasih sejak saya memasuki industri melalui Akedemi Fantasia (AF) sehingga kini.
“Lebih 20 lagu akan dihadiahkan kepada peminat, setiap lagu ada ceritanya. Saya mahukan semua penonton pulang dengan rasa puas, terhibur dan terinspirasi,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
Konsert yang bakal berlangsung turut diselitkan dengan segmen yang paling dinantikan oleh semua peminat iaitu persembahan duet Stacy bersama suami tersayang, Akim Ahmad.
Sementara itu, Akim berkata, konsert ini sudah dirancang kira-kira tiga tahun lalu sebelum angan-angan dan cita-cita direalisasikan tahun ini di Sabah sebagai lokasi pertama pilihan pelaksanaan konsert ulung Stacy.
“Kami berdepan dengan cabaran pembahagian masa berikutan seminggu sebelum konsert ini saya akan menjayakan konsert di Megastar Arena, bagaimanapun ini bukanlah cabaran yang tidak baik malah kami enjoy dengan situasi ini.
“Kesibukan itu letak nombor dua atau tiga, apa yang penting kepuasan menjadi keutamaan dalam kerjaya kami,” katanya.
Tiket rasmi sudah mula dijual bermula 10 April dan boleh dibeli di www.ticket2u.com. Kategori dan harga tiket yang ditawarkan termasuklah Not For Sale (Seating) RM6,000, Aku Stacy (Seating) RM399, Pelangi Senja (Free Standing) RM257, Gilalah (Free Standing) RM197 dan Jahat (Free Standing) RM137.
Untuk info lanjut mengenai konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U”, peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat yang terkini, dan ikuti juga saluran U Mobile untuk konten-konten di belakang tabir serta pengalaman konsert yang eksklusif. – Info X