Search

Sidang DUN: Sabah berdepan isu pelupusan sampah – Amisah

April 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu pelupusan sampah semakin serius berikutan tapak sedia ada semakin penuh, selain memerlukan kos tinggi mencecah RM45 juta setahun bagi mengurus 19 tapak pelupusan sedia ada di Sabah ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yasin, berkata ia perlu ditangani secara serius termasuk menerusi penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan kos, pencemaran dan pencarian tapak baharu pelupusan sampah.

“Berdasarkan rekod terdapat 19 tapak pelupusan sampah di seluruh negeri yang memerlukan kos sehingga RM45 juta setahun. Kos ini pastinya akan bertambah dari tahun ke tahun apabila jumlah sampah semakin meningkat.

“Hari ini, sudah banyak teknologi hijau yang boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan bebanan kerajaan menguruskan sampah dan sisa pepejal.

“Oleh itu, saya memohon supaya kerajaan negeri mengambil serius terhadap isu yang berlaku termasuk menyediakan satu peruntukan khas sebagai pelaburan jangka panjang demi kebaikan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau menyuarakan perkara itu ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, isu pelupusan sampah sudah berlarutan sejak sekian lama berikutan proses perbandaran dan kemajuan yang menyebabkan sampah dan sisa pepejal semakin hari semakin bertambah.

Katanya, peningkatan sampah menyebabkan ruang di kawasan pelupusan sampah semakin hari semakin mengecil dan akan tiba suatu masa nanti ia terpaksa ditutup kerana sudah penuh.

“Jadi langkah seterusnya ialah mencari kawasan tapak pelupusan baharu dan enario ini sangat membimbangkan seperti dalam kes di Sungai Sibuga, Sandakan.

“Apabila sudah penuh, lubang yang digali akan ditutup dan dibuka lubang baharu. Masalah sampingan yang timbul ialah pergerakan air sampah bawah mencemarkan air bersih yang mengalir ke kawasan lain hingga mengundang wabak penyakit dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya adalah wajar pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta agensi berkaitan mencari alternatif bagi memproses sisa pepejal sebagai langkah menangani isu sampah jangka masa panjang. – Info X