Search

Sidang DUN: Fi lesen bilik hotel lebih rendah berbanding lot pasar – Abidin Madingkir

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyifatkan fi lesen bilik hotel yang dikenakan di bandar raya ini tidak membebankan pengusaha hotel berikutan nilainya lebih kecil berbanding bayaran dikenakan kepada peniaga kecil di pasar.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata hotel kelas dua dan tiga masing-masing dikenakan fi lesen RM2.65 dan RM1.30 sebilik sehari, berbanding RM3 satu lot sehari kepada penjaja pasar dan pasar malam.

Katanya, hanya hotel kelas satu dikenakan bayaran fi lesen yang agak tinggi iaitu RM4.65 sebilik sehari jika bilik di hotel terbabit dihuni.

Berikutan itu, katanya kerajaan tiada perancangan untuk membuat penangguhan semakan semula yuran ke atas fi lesen di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966 atau melaksanakan kutipan fi lesen secara berfasa.

“Pendekatan ini diambil untuk keseragaman tindakan ke atas semua kelas hotel dan memudahkan pelaksanaan proses kutipan fi lesen oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kerajaan negeri percaya pengembalian kadar lesen ini tidaklah membebankan pengusaha hotel jika dilihat dari nilai yang dikenakan kepada 174 pengusaha hotel kelas dua dan tiga berbanding peniaga kecil yang lain.

“Sebagai contoh, fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel yang dihuni hanyalah sekitar RM4.65 sebilik sehari untuk kelas satu, RM2.65 sebilik sehari untuk kelas dua dan RM1.30 sebilik sehari untuk kelas tiga. Sekiranya bilik ini tidak dihuni, maka tiada bayaran fi yang dikenakan.

“Jika dibandingkan penjaja di pasar malam atau pasar bangunan sekitar Kota Kinabalu, mereka dikenakan caj sebanyak RM3 sehari setiap lot berbanding dengan fi lesen hotel kelas dua dan tiga. Secara relatifnya kadar fi lesen hotel masih rendah,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) mengenai isu fi lesen bilik hotel di bandar raya Kota Kinabalu.

Abidin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap DBKK berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan yang termaktub dalam undang-undang, termasuk membuat kutipan fi lesen.

Katanya, hasil daripada kutipan fi lesen dimanfaatkan bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan yang lebih proaktif, sekali gus memastikan bandar raya Kota Kinabalu terus menjadi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa. – Info X