Search

PRN17: Tindakan Bung Moktar umum kerjasama BN-PH satu strategi politik – Suhaimi

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama BN-PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai satu strategi politik.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pengumuman Bung Moktar itu bukan jenaka selepas pelbagai pihak, termasuk dari UMNO sendiri mengatakan tiada keputusan rasmi mengenai perkara itu.

“Kenyataan terbaharu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kerjasama di antara UMNO Sabah (BN) dan PH menjelang PRN17 mencetuskan pelbagai reaksi.

“Ada pihak termasuk dari dalam UMNO sendiri tampil menjelaskan bahawa tiada keputusan rasmi dibuat, manakala segelintir pula memilih untuk memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka.

“Dari sudut komunikasi politik, apa yang dilakukan Bung Moktar ialah penggunaan strategi persepsi politik pendekatan yang terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya penting,” dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata langkah mengumumkan kerjasama secara terbuka dengan sebuah gabungan yang menguasai kerajaan Persekutuan bertujuan menghantar mesej bahawa UMNO-BN masih relevan, fleksibel dan strategik dalam pendekatan politiknya.

“Ini bukan kenyataan rambang, ini mesej yang dibuat dengan teliti. Dalam dunia sains politik, ini juga dikenali sebagai agenda ‘setting’ iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.

“Ia membolehkan UMNO Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri dan nasional.

“Perlu difahami bahawa ungkapan seperti ‘pintu rundingan sentiasa terbuka’ bukan satu bentuk komitmen rasmi. Ia adalah alat komunikasi strategik untuk menilai reaksi akar umbi, membuka ruang rundingan dan mencipta kelebihan politik dalam rundingan yang akan datang,” katanya.

Suhaimi berkata, soal sama ada kerjasama itu akan berlaku atau tidak adalah perkara yang kedua.

Katanya, apa yang penting ialah UMNO Sabah kembali berada dalam radar politik nasional, perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti lain.

“Kepada mereka yang memilih untuk memperlekeh strategi ini, ketahuilah bahawa dalam politik hari ini, siapa yang menguasai persepsi, dia yang memacu momentum.

“Politik bukan mengenai tunggu lampu hijau, pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu dan hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar,” katanya. – Info X