KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan sebanyak 87 kes tangkapan membabitkan penahanan 321 individu atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2025 dengan nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah 4.809 juta.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, data itu adalah kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara iaitu bermula 10 Mac dan berakhir hari ini.
Katanya, operasi ini membabitkan empat fasa, bermula daripada pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan pra dan pasca Aidilfitri hinggalah ke sesi penilaian selepas operasi.
“Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 87 kes tangkapan telah direkodkan membabitkan penahanan 321 individu dengan 13 warga asing seperti Myanmar, Indonesia, China, Iran, Bangladesh, Vietnam dan lain-lain telah ditahan.
“Berdasarkan kepada tangkapan yang dilakukan, statistik menunjukkan kesalahan tertinggi adalah Akta Perikanan 1985 iaitu 44 kes, diikuti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (26 kes) dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu 16 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM4.809 dengan rampasan terbesar membabitkan dua buah vesel nelayan asing yang bernilai RM3 juta.
“Rampasan lain rokok seludup (RM958,000), benih udang kara dan ikan (RM500,490), bot dan enjin (RM222,900), kenderaan (70,5000), barang kawalan (RM17,671.50), bubu naga/pukat pari (RM37,160) dan diesel/petrol (RM3,215).
“Manakala kes tangkapan tertinggi adalah di APMM Johor iaitu mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 22 kes, diikuti APMM Sabah dan Labuan dengan 21 kes dan APMM Sarawak iaitu sebanyak 14 kes,” katanya.
Mohd Rosli berkata, secara keseluruhan jumlah kes tangkapan operasi kali ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 176 kes.
Katanya, penurunan ini mencerminkan kesan pencegahan awal hasil pemantauan berterusan serta kerjasama masyarakat dan komuniti maritim.
“Perlu saya tegaskan bahawa operasi ini tidak hanya bersifat penguatkuasaan semata-mata tetapi pelbagai kesedaran di laut seperti kempen Sahabat Maritim serta libat urus komuniti setempat turut dijalankan bagi memperkukuh peranan masyarakat dalam menjadi mata dan telinga kepada agensi ini.
“APMM akan terus komited dalam menjaga keselamatan perairan negara. APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana elemen jenayah rentas sempadan mahupun pencerobohan yang mengugat keselamatan maritim negara,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota APMM yang terbabit seramai 800 pegawai dan anggota telah digerakkan secara bergilir-gilir sepanjang tempoh operasi, siang dan malam tanpa henti.
“Op Khas Pagar Laut 1/2025 tamat tidak bererti tiada operasi dan rondaan dilakukan, tetapi pihak APMM akan mempertingkatkan lagi keselamatan perairan negara khususnya di kawasan hotsport sempadan negara,” katanya. – Info X