Search

Khairulanuar Pengarah Maritim Sabah yang baharu

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali dilantik sebagai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan berkuatkuasa hari ini menggantikan Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

Pelantikan berkenaan berlangsung dalam Majlis Serah Tugas yang disaksikan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah di Ibu Pejabat Maritim Sabah dan Labuan di sini, hari ini.

Rosli dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada Che Engku Suhaimi dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di negeri ini.

Mohd Rosli (tengah) menyaksikan Che Engku Suhaimi (kiri) menyerahkan pedang kepada Mohd Khairulanuar sebagai simbolik penyerahan jawatan pada majlis berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga mengalu-alukan kehadiran Mohd Khairulanuar dan berharap agar kesinambungan kepimpinan dapat memperkukuh keupayaan agensi terbabit dalam memastikan keselamatan perairan Sabah kekal terpelihara.

“Saya percaya dengan pengalaman Mohd Khairulanuar dalam penugasan yang sebelum ini sebagai Pengarah Zon Maritim Sandakan mampu mengemudi Sabah kekal cemerlang dalam membanteras apa sahaja kemasukan anasir asing ke perairan negara seterusnya mengekalkan perairan Sabah kekal selamat,” katanya.

Bercakap lanjut Rosli berkata, kerjasama semua pihak adalah penting dalam memastikan momentum penugasan di perairan Sabah kekal berada pada tahap dan kesiagaan tertinggi.

Mohd Rosli (tengah) menyaksikan Che Engku Suhaimi (kiri) menyerahkan dokumen tugas kepada Mohd Khairulanuar sebagai simbolik penyerahan jawatan pada majlis berkenaan.

“Peranan APMM di Sabah amat penting terutamanya dalam memastikan kehadiran aset dan kesiapsiagaan operasi di Laut China Selatan diteruskan tanpa kompromi.

“Sebagai Commander of Three Seas, keberadaan aset di perairan Sabah mesti dipelihara bagi menjamin kedaulatan negara daripada ancaman luar.

“Oleh itu, saya menyeru semua warga kerja APMM supaya terus memelihara integriti dalam melaksanakan tugas dan memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dimanfaatkan sebaiknya, pada masa sama nilai murni serta semangat berpasukan juga ditekankan dalam memastikan kejayaan operasi dan pengurusan organisasi terus unggul,” katanya. – Info X