Search

Sidang DUN: Kerajaan tanggung rawatan hemodialisis pesakit buah pinggang – James Ratib

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menanggung kos rawatan pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan hemodialisis di semua hospital di negeri ini pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata perkhidmatan itu disediakan menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah Sejahtera.

Katanya, inisiatif yang membabitkan peruntukan RM8.5 juta itu bagi meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir khususnya dari golongan kurang berkemampuan.

“Jumlah keseluruhan kos yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi membiayai skim ini ialah RM8.5 juta, iaitu RM4 juta untuk kos rawatan, manakala RM4.5 juta untuk pembelian mesin hemodialisis.

“Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan hemodialisis di hospital atau klinik kerajaan dan rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu.

James yang juga EXCO Kesihatan Sabah, berkata sebanyak 100 mesin hemodialisis baharu akan dibekalkan ke 25 hospital atau klinik di seluruh Sabah bagi menggantikan sebahagian daripada 474 mesin yang tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, skim bantuan itu difokuskan kepada rawatan pesakit buah pinggang, sebelum diperluaskan kepada perkhidmatan rawatan lain berdasarkan keperluan pada fasa seterusnya. – Info X