KOTA KINABALU: Penyelenggaraan kawasan hadapan rumah di taman perumahan menjadi tanggungjawab syarikat konsesi, manakala parit belakang rumah dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata beliau sendiri hairan kenapa berlaku perbezaan pihak yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan perumahan di Sabah.
Katanya, perkara itu sudah lama menjadi amalan, namun tidak dipastikan kenapa penyelenggaraan di kawasan taman perumahan dilaksanakan pihak berlainan.
“Saya juga hairan kenapa kawasan hadapan rumah diselenggara pihak lain, manakala di belakang rumah oleh pihak lain.
“Saya ada tanya pegawai berhubung perkara ini tetapi ia dikatakan sudah menjadi amalan sejak dahulu lagi, tapi mungkin kita boleh pinda peraturan ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Tamin Zainal (BN-Pantai Manis) berhubung isu penyelenggaraan kawasan taman perumahan pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN pada Khamis.
Tamin menyatakan kehairanannya terhadap penyelenggaraan kawasan taman perumahan beliau di Papar yang tidak sama mengikut kawasan hadapan dan belakang rumah.
Beliau turut mendakwa kerja penyelenggaraan jarang dilaksanakan, malah mungkin hanya setahun sekali hingga terpaksa melakukan sendiri kerja pemotongan rumput di hadapan rumah.
Sementara itu, Dr Joachim berkata kerja penyelenggaraan di taman perumahan sepatutnya dilaksanakan sebulan sekali dan bukannya setahun sekali.
“Penyelenggaraan sekali setahun tidak patut, kecuali mungkin ia bukan kawasan perkadaran PBT. Biasanya penyelenggaraan dibuat sebulan sekali,” katanya. – Info X