KOTA KINABALU: DUN Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Hutan (Pindaan) 2025 berkaitan usaha meningkatkan perlindungan hutan dan menangani isu global, khususnya yang membabitkan kredit karbon.
Ketika membentangkan RUU itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata RUU itu digubal bagi mengadakan beberapa peruntukan khusus termasuk berkaitan mengawal selia aktiviti karbon berasaskan hutan.
Katanya, peruntukan lain dalam RUU itu ialah untuk memberikan kuasa kepada Ketua Konservator Hutan bagi menutup sebahagian kawasan hutan simpan; untuk memberikan kuasa mengenakan bayaran dan pengeluaran permit; dan perkara yang berkaitan dengannya.
“Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan hutan.
“Di peringkat kebangsaan, Kerajaan Persekutuan dijangka akan menggubal satu Akta Perubahan Iklim pada tahun ini. Justeru, bagi memastikan aktiviti perdagangan kredit karbon hutan diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, maka RUU ini perlulah diluluskan dengan segera.
“Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia perdagangan kredit karbon hutan demi menjaga kepentingan negeri dan kelestarian sumber hutan,” katanya.
Abidin berkata, karbon dalam pokok ditakrifkan sebagai hasil hutan melalui pindaan seksyen 2 Enakmen Hutan 1968 pada 2013 yang mana sewajarnya, sebarang faedah daripada perdagangan kredit karbon hutan memberikan manfaat kepada Sabah.
Justeru, katanya terdapat keperluan untuk mewujudkan kaedah yang tertentu untuk mengawal selia aktiviti karbon hutan termasuk perdagangan di peringkat antarabangsa, bagi memastikan hak Sabah terus terpelihara.
“Melalui pindaan ini, Aktiviti Karbon Berasaskan Hutan (Forest Carbon Activity) dalam kawasan Hutan Simpan, tanah kerajaan dan tanah bergeran, akan dilesenkan mengikut terma-terma dan syarat yang dipersetujui serta melindungi kepentingan negeri.
“Dengan adanya perundangan mengenai Aktiviti Karbon Hutan, mana-mana peruntukan, dana dan pendapatan yang diperolehi daripada inisiatif ini akan disalurkan terus kepada negeri.
“Perkara ini penting untuk menyokong usaha Kerajaan Sabah dalam mencapai keseimbangan antara usaha pemuliharaan, penjanaan pendapatan dan memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan pada masa hadapan,” katanya.
Abidin berkata, RUU itu juga bertujuan meminda penalti bagi kesalahan hutan di bawah Enakmen Hutan 1968, bagi membolehkan sesiapa yang melanggar peruntukan Enakmen Hutan 1968 dikenakan hukuman yang lebih berat.
Sebagai contoh, katanya bagi kesalahan yang menyebabkan kebakaran hutan, individu berkaitan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM500,000, manakala, bagi kesalahan penebangan pokok tanpa kebenaran di Hutan Simpan dan tanah Kerajaan, boleh membawa hukuman denda hingga RM5 juta dan penjara minimum dua tanun tahun dan maksimum hingga 20 tahun.
“Pindaan ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan,” katanya.
Sementara itu, Abidin berkata penambahan seksyen baharu 12A hingga 12E melalui RUU itu pula bertujuan memberikan kuasa kepada Ketua Konservator Hutan bagi mengisytiharkan penutupan Hutan Simpan.
Jelasnya, satu seksyen baharu juga akan ditambah melalui RUU itu iaitu Seksyen 24E bagi memberi Ketua Konservator Hutan kuasa atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya untuk mengeluarkan permit bagi menjalankan semua atau apa-apa aktiviti yang dilarang di bawah subseksyen 20(1) kecuali subperenggan 20(1)(a)(ii) Enakmen terbabit.
“Cadangan pindaan ini memudahkan pemberian permit bagi aktiviti yang diperlukan bertujuan untuk pengurusan hutan yang lebih baik seperti permit untuk membina kemudahan asas mengikut kehendak Enakmen Hutan 1968,” katanya. – Info X