Search

Suami isteri melecur dalam kebakaran dua rumah di Keningau

April 19, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Suami isteri melecur selepas terbabit dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tudan Baru, di sini, malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 43 tahun melecur bahagian tangan sebelah kiri manakala isterinya berusia 42 tahun melecur pada bahagian dahi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, sebaik menerima panggilan jam 7.24 malam, seramai 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari balai bomba.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan setiap rumah terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, pemilik rumah pertama pasangan suami isteri cedera melecur dan dihantar ke hospital dengan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Selepas memastikan api padam sepenuhnya dan tiada lagi wuju bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 9.42 malam.

“Setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X