KOTA KINABALU: SabahCare Fertility & Specialist Centre (SCFSC) di Damai, dekat sini, satu-satunya fasiliti kesuburan swasta di Sabah sudah berjaya membantu kelahiran lebih 500 bayi sejak dimulakan pada 2018.
Pengarah Klinikal SCFSC, Dr Cheong Yee Sing, berkata hospital swasta pertama di Sabah yang menyediakan pusat IVF (In Vitro Fertilization) itu turut membantu pasangan dari luar negara yang menghadapi kesukaran mendapatkan zuriat.
“Selepas beberapa tahun, kita mendapat peluang untuk membantu pasangan bukan saja dari Sabah tetapi juga dari wilayah dan negara jiran termasuk Sarawak, Brunei, Indonesia, Singapura, China, Hong Kong dan Australia.
“Suka saya berkongsi bahawa sejak ditubuhkan pada 2018, SabahCare membantu membawa lebih 500 bayi ke dunia dan kita akan terus melihat ke hadapan untuk mengalu-alukan kelahiran lebih ramai lagi bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian SCFSC yang disempurnakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, pada Sabtu.

Dr Yee Tsing berkata, beliau bersama Pengarah Perubatan SCFSC, Datuk Dr Mohamed Hatta Tarmizi memulakan pusat kesuburan itu pada 2018 selepas mewujudkan pusat IVF awam yang pertama di Sabah dan Malaysia Timur di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada 2010.
Sementara itu, katanya SCFSC juga komited untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik menerusi pelaburan untuk menyediakan teknologi makmal terkini untuk rawatan pesakit.
Bagi rawatan kesuburan, katanya selain IVF konvensional, SabahCare turut menawarkan ICSI (Intracyptoplasmic Sperm Injection), satu teknologi baharu bagi menyuntik hanya satu sperma ke dalam telur untuk disenyawakan.
Katanya, berbeza dengan IVF yang memerlukan ribuan sperma untuk mensenyawakan telur, melalui ICSI hany satu sperma sudah cukup untuk mencapai kehamilan.
“Selain dua teknologi itu, kita turut menyediakan PGT (Preimplantation Genetic Testing) bagi membuat saringan genetik ke atas embrio sebelum dimasukkan ke dalam rahim.
“Dengan memilih embrio yang normal, ia dapat mencegah kelahiran bayi dengan masalah genetik seperti Sindrom Down dan Thalasemia,” katanya.
Hadir sama pada majlis perasmian pusat berkeaan ialah ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang; Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Maria Suleiman dan Ketua Pegawai Eksekutif SCFSC, Dr John Teo Beng Ho. – Info X