Search

PRN17: DAP terbuka bincang kerjasama dengan BN atau GRS

April 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: DAP Sabah terbuka untuk berbincang mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, sama ada dengan Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menjelaskan pendirian itu, Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata apa yang penting ialah perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu sebelum mengumumkan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.

Jelasnya, DAP sedia berbincang jika Pakatan Harapan (PH) diajak untuk bekerjasama, sama ada dengan BN atau GRS sejajar sejarah politik DAP yang pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik sebelum ini.

“Kalau ada perbincangan rasmi nanti, tidak kira dengan siapapun, sama ada BN, GRS, itu nanti kita sudah tentu ikut bincang. Kita terbuka terhadap sebarang perbincangan dengan parti politik dan untuk apa saja gabungan.

“Kita pernah bekerjasama dengan banyak parti sebelum ini. Kalau lihat sejarah politik, DAP pernah bekerjasama dengan banyak parti, tapi apa yang penting sekarang ialah Sabah berdepan banyak cabaran dan masalah.

“Jadi, adalah penting DAP mengambil pendirian bahawa kita mesti ada satu dasar yang baik untuk Sabah menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, barulah boleh bergabung dengan mana-mana parti kerana kita akan menubuhkan kerajaan untuk dasar yang baik itu.

“Pada masa ini belum ada perbincangan rasmi, jika ada perbincangan rasmi, malah kalau diadakan esokpun kita akan layan, tiada masalah, ‘kupi-kupi talk’ pun boleh tapi janganlah umum sebelum ada perbincangam rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pusat kesuburan SabahCare Fertility & Specialist Centre (SCFSC), di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu bagaimanapun tidak menyatakan pendiriannya sama ada wujud kebarangkalian untuk PH, BN dan GRS membentuk kerjasama bagi menghadapi PRN17.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu mengesahkan belum ada perbincangam rasmi di antara DAP atau PH dengan mana-mana parti, sama ada GRS atau BN setakat ini.

Bagi DAP, katanya soal siapa bergabung dengan siapa bukan perkara yang utama, sebaliknya perbincangan perlu ditumpukan terhadap dasar setiap parti yang perlu selari demi kepentingan Sabah.

“Saya rasa dalam banyak kita baca mengenai siapa gabung dengen siapa, sebenarnya pada pendirian DAP adalah penting tidak kira kita bergabung dengan siapa, apa yang sangat penting sebelum kita bentuk gabungan politik adalah kita mesti ada dasar yang sama.

“Contohnya bagaimana kita boleh tingkatkan kadar kesuburan, bagaimana kita dapat tubuhkan lebih banyak hospital di Sabah, inilah pendiran DAP.

“Apa yang penting kita bincang dasar terlebih dahulu baru bincang gabungan politik. Kalau tidak, rakyat ingat kita setiap hari berpolitik saja, itu tidak baik untuk Sabah,” katanya.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini mengumumkan kerjasama BN-PH, manakala di Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan GRS akan berbincang dengan PH mengenai kerjasama PRN17 ketika menghadiri sambutan Aidilfitri di Sandakan pada Sabtu. – Info X