KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyumbang RM110,000 untuk Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan sumbangan itu kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selaku penganjur anugerah itu pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Sabtu.
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong dalam ucapannya berkata, Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihoskan khas oleh Ketua Menteri khusus untuk pengamal media.
Katanya, Hajiji dan Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan kerjasama pihak media yang terus memberi sokongan dan membantu melaporkan program-program yang dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, sambutan tahun ini berbeza daripada tahun sebelumnya kerana diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai dewan yang cantik dan indah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Pengarah Penerangan Negeri, Jainisah Mohd Noor; Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali; Presiden SJA, Mariah Doksil; Presiden Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Jimmy Goh, Ketua-Ketua Pengarang, Ketua-Ketua Biro akhbar dan portal berita. – Info X