KOTA KINABALU: Sabah gagal mencapai misinya untuk menamatkan aksi perlawanan akhir Liga Super musim ini dengan kemenangan selepas tewas 1-0 di tangan Perak FC di Stadium Likas.
Lebih mengecewakan, gol pada minit ke-27 itu adalah jaringan sendiri Kapten Sabah, Rawilson Batuil yang tersilap percaturan berdepan sepakan silang pemain Perak di hadapan gawang.
Aksi malam ini menyaksikan Sang Badak dari awal lagi bermasalah apabila dilihat mudah diasak pemain Perak yang lebih banyak menyerang dan mencipta peluang.
Perak dilihat mempunyai tekad yang kuat untuk mencipta gol dan menyusun strategi dengan baik hingga berjaya memperdaya pemain Sang Badak dan mencipta gol pada minit ke-27 hasil sepakan bolos tuan rumah.
Sepakan silang Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik dari arah kanan gawang tuan rumah itu disudahkan secara percuma kapten Rawilson yang meluru ke arah gawang dan terus menjaringkan gol sendiri.
Setelah ketinggalan 1-0, Sabah cuba bangkit dengan memasukkan penyerang muda, Muhammad Farhan Roslan, namun malangnya Sang Badak kehilangan pemain pertahanan, Dinesh Rajasingam selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-41.
Dinesh dilihat mengangkat kaki terlalu tinggi hingga terkena muka pemain Perak, Ahmad Daniel Hakimi ketika cuba menyepak bola, menyebabkan Sabah terpaksa bermain 10 orang.
Beralih ke separuh masa kedua, Sabah berusaha mengubah kedudukan menerusi percaturan Muhammad Farhan yang dilihat berjaya mencipta beberapa percubaan menarik untuk menghasilkan jaringan.
Namun, kelemahan bantuan dari rakan sepasukan menyukarkan misinya mencari gol untuk Sabah.
Dalam pada itu, pasukan Perak memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan jumlah pemain mereka berbanding tuan rumah untuk mengasak gawang Sabah bagi mendapatkan gol kedua.
Hasrat pasukan lawan mendapatkan gol sendiri itu bagaimanapun tidak kesampaian berikutan halangan kuat pertahanan Sabah, selain kecekapan penjaga gol, Damien Lim dan penggantinya, Mohd Ramzi Mustakim. – Info X