KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid membuat laporan polis berhubung satu artikel didakwa berunsur fitnah yang disiarkan sebuah portal berita, baru-baru ini.
Artikel bertajuk ‘Kerajaan Sabah Digesa Tamatkan CEO ECoS, Luluskan IPP Libaran Milik Besan Muhyiddin Tanpa Restu Kabinet’ itu didakwa mengandungi pelbagai tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Nasser secara peribadi dan profesional.
Beliau membuat laporan polis itu pada 17 April 2025.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata artikel terbabit mengandungi tuduhan, antaranya dakwaan bahawa beliau meluluskan projek Independent Power Producer (IPP) Libaran milik besan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sabah.
Abdul Nasser dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang terkandung dalam artikel terbabit.
Katanya, segala tindakan yang diambil CEO ECoS adalah berdasarkan undang-undang, peraturan, dasar dan prosedur rasmi yang ditetapkan, termasuk melaksanakan keputusan Majlis Tenaga Sabah seperti yang dimandatkan oleh Kabinet Negeri.
Jelasnya, penerbitan artikel itu mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baik beliau dan merosakkan reputasi ECoS sebagai badan pengawal selia yang berwibawa.
“Selain itu, artikel itu juga didapati cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah secara keseluruhannya.
“Tuduhan-tuduhan yang dikemukakan dalam artikel itu bukan saja bersifat fitnah, malah berpotensi menjejaskan kepercayaan awam terhadap tadbir urus tenaga di negeri ini,” katanya.
Beliau menganggap serius perkara itu kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur.
Laporan polis itu, katanya dibuat dengan beberapa tujuan penting, iaitu pertama, untuk memohon siasatan terperinci terhadap penulis artikel, pengendali portal dan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran maklumat palsu itu.
“Kedua, bagi mendesak tindakan undang-undang di bawah Seksyen 500 (fitnah jenayah) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketiga, untuk mempertimbangkan tindakan sivil atas kerugian dan kerosakan reputasi yang dialami,” katanya.
Abdul Nasser menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya mengikut undang-undang dan menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama yang diperlukan dalam proses siasatan.
“Saya percaya kepada prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang dan yakin bahawa kebenaran akan terbukti demi memelihara maruah individu dan integriti institusi awam yang saya pimpin,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat rasmi melalui saluran yang sah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Abdul Nasser dan ECoS menegaskan komitmennya untuk terus memastikan ketelusan dan integriti dalam semua urusan berkaitan tenaga di Sabah. – Info X