TAWAU: Empat lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter di kawasan Kukusan Kuari, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 petang menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba pada jam 1.42 tengah hari, pasukan bomba mendapati semua mangsa telah dikeluarkan oleh pekerja kuari sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa dan dua daripada mereka dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS, manakala dua lagi mangsa dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Semua mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai lelaki berusia 31 hingga 46 tahun. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 petang. Turut terbabit dalam operasi ialah pasukan perubatan dari KKM.
Jarak lokasi kejadian dari balai bomba dianggarkan sejauh lima kilometer. – Info X