TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas mengugut untuk mencederakan dan membunuh seorang pesara menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
Suspek berusia 65 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sebuah rumah di kawasan Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dijalankan selepas menerima laporan daripada seorang pesara berusia 67 tahun yang mendakwa menerima mesej berunsur ancaman daripada suspek menerusi perbualan WhatsApp.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menghantar mesej yang mengandungi ugutan serius terhadap mangsa termasuk ancaman untuk mencederakan dan membunuh pihak tertentu.
“Suspek warga tempatan ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan komunikasi bertulis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang rampasan atau kerugian harta dilaporkan.
“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan aplikasi telekomunikasi,” katanya. – Info X