Search

Alena Murang tampilkan ‘Borneo Rain’ sempena Hari Bumi Sedunia

April 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sempena Hari Bumi Sedunia, penyanyi berasal dari Sarawak, Alena Murang melancarkan single terbarunya yang bertajuk ‘Borneo Rain’.

‘Borneo Rain’ merupakan cara Alena untuk mengajak kita semua menghargai apa yang alam semulajadi berikan kepada kita.

Lagu ini dinyanyikan dalam bahasa Kelabit, iaitu bahasa yang semakin pupus dan hanya dituturkan oleh kurang daripada 6,000 orang dari kawasan tanah tinggi di Sarawak.

Turut dilancarkan adalah versi Bahasa Malaysia dan versi instrumental lagu ini.

Lagu ini turut menampilkan Sape’, iaitu alat muzik tradisional dari Borneo yang dikenali dengan bunyi merdu yang menghubungkan jiwa manusia dengan irama alam.

Melalui lagu ini, Alena membawa para pendengar kembali ke pelukan hutan hujan, memperlihatkan bahawa hujan bukan sesuatu yang perlu dielakkan, tetapi satu anugerah yang menghidupkan segala di sekeliling kita.

“‘Borneo Rain’ adalah lagu yang meraikan hujan sebagai satu rahmat untuk tanah, dan seterusnya, untuk kita semua.

Sejak kecil, saya belajar melalui lagu dan cerita daripada orang tua saya bahawa hujan bukanlah cuaca yang menyusahkan, tetapi keperluan untuk kehidupan.

Apabila hujan turun, ia menyuburkan bumi, dan itu adalah sesuatu yang patut kita syukuri,” kongsi Alena.

Borneo merupakan antara kawasan yang paling banyak menerima hujan di dunia, dan di Malaysia, kita memiliki antara hutan hujan tropika tertua di dunia, semuanya disuburkan oleh hujan.

Ia membantu benih tumbuh, memberi kehidupan kepada tanah, dan mengekalkan kelangsungan hutan kita.

“Dengan lagu ini, saya harap pendengar merasakan kegembiraan dan ketenangan — seperti rasa damai yang sering kita alami apabila benar-benar menyelami keindahan alam,” tambah Alena.

Video muzik visualiser yang dilancarkan pada 21 April menampilkan Alena memakai Samit iaitu sejenis baju hujan tradisional dari Kelabit Highlands, diperbuat daripada daun palma dan dijahit tangan menggunakan kain kulit kayu atau fiber nanas.

Ia merupakan simbol indah bagaimana masyarakat dahulu hidup harmoni dengan alam semula jadi.

Tonton video muzik di YouTube dan strim lagu ini di Spotify, Apple Music, dan semua platform digital utama:
Video Visualiser Rasmi (21 April): https://youtu.be/aDLFphMLoIo
Borneo Rain (audio) (19 April): https://bfan.link/borneo-rain