KOTA KINABALU: Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini tampil mengulangi kritikan mereka terhadap kerajaan negeri berhubung usaha menangani masalah air di universiti itu.
Kali ini, kumpulan berkenaan mengecam pembaziran kerajaan negeri yang didakwa membelanjakan RM3.96 juta untuk pembelian nombor plat kenderaan ‘SMJ’ dan mengaitkannya dengan masalah air di UMS.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Aliff Danial, berkata UMS yang terletak hanya tiga kilometer dari Pusat Pentadbiran Negeri
Sabah (PPNS) (Menara Kinabalu) masih dibelenggu masalah bekalan air yang tidak berkesudahan.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya pembaziran Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan RM3,965,590 untuk pembelian nombor plat ‘SMJ’, sedangkan UMS yang terletak hanya 3 kilometer dari Pusat Pentadbiran Negeri Sabah masih dibelenggu masalah bekalan air yang tidak berkesudahan.
“Langkah Kerajaan Negeri Sabah ini dilihat tidak berperikemanusiaan, cukup ironi apabila Kerajaan Persekutuan membelanjakan sekitar RM5 juta untuk pembinaan telaga tiub di UMS tetapi Kerajaan Negeri Sabah tergamak berbelanja mencecah RM4 juta hanya untuk nombor plat kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, masalah air membelenggu warga UMS sejak bertahun lamanya, namun pembelian plat SMJ 1 hingga SMJ 9999 boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Adakah ini ‘Sabah Maju Jaya’ yang
dimaksudkan? Kerajaan Negeri Sabah berbelanja mewah tetapi mahasiswa di universiti menadah air hujan hanya untuk mendapatkan air bersih mereka.
“Kami ingin menegaskan ‘Sabah Maju Jaya’ atau ‘SMJ’ hanyalah simbolik politik Kerajaan Negeri Sabah semata-mata.
“Realitinya, derita rakyat Sabah masih berlarutan mengenai masalah asas seperti bekalan air bersih, jalan raya rosak, infra, peluang pekerjaan dan rasuah yang kian membarah,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan yang sama mengadakan demonstrasi menuntut penyelesaian isu air UMS di hadapan Menara Kinabalu pada Jun tahun lalu, selain mengadakan himpunan memerangi rasuah di lokasi sama pada 31 Disember lalu. – Info X