Search

“Aniq, pulang Aniq…” kanak-kanak autisme hilang di Tamparuli masih gagal dikesan

April 23, 2025

Info X Reporters

TAMPARULI: “Aniq, pulang Aniq, pulang sayang” itu antara rakaman dimainkan pembesar suara daripada dron, yang diterbangkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang di Tamparuli sejak 20 April lalu.

Rakaman itu adalah suara ibu kepada Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf, 5, yang dimainkan oleh dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kontinjen Sabah di sekitar lokasi pencarian yang masuk hari keempat, hari ini.

Operasi hari ini, yang turut disertai Info X dilakukan di sekitar radius 3 kilometer dari rumah mangsa termasuklah di kawasan sungai.

Operasi diketuai, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Katanya, pencarian memasuki hari keempat hari ini membabitkan seramai 112 pegawai dan anggota pelbagai agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta orang awam.

“Setakat ini, belum ada petunjuk di mana keberadaan Muhammad Aniq (Aniq) namun kita tidak putus asa dan masih bersemangat meneruskan operasi pencarian.

“Selain operasi SAR, Bahagian Siasatan Jenayah juga menjalankan operasi membantu mencari di tempat-tempat yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, Aniq menyukai sungai tetapi dia takut untuk ke sungai dan pencarian diperluaskan di kawasan sungai.

“Saya akan minta bantuan daripada bot nelayan bagi membantu kita mencari di sekitar sungai di kawasan masing-masing pada hari ini.

“Hari ini, kita akan lakukan pencarian sehabis baik dan kepada orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu pencarian mangsa,” katanya.

Terdahulu, mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf dikatakan dilihat kali terakhir sekitar jam 1.30 tengah hari sebelum dilaporkan hilang.

Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

Operasi pencarian yang dijalankan pasukan bomba turut menggunakan unit anjing pengesan K9 selain dibantu penduduk kampung. – Info X