TUARAN: Daerah Tuaran mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan pencapaian baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sempena sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 pada Selasa.
Pengiktirafan itu diperolehi melalui acara penanaman terbanyak anak pokok Baccaurea Lanceolata (Liposu) dalam satu acara iaitu sebanyak 8,800 pokok.
Pokok Liposu adalah antara spesies pokok daripada lebih 60,000 anak pokok yang ditanam pada acara sehari itu.
Majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.
PPD Tuaran dan JAS Sabah bersama pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat menjadi rakan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat P170 Tuaran selaku penganjur utama.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata, aktiviti penanaman pokok itu melibatkan 88 sekolah di Tuaran.
“Kira-kira 29,000 pelajar di seluruh daerah ini mengambil bahagian dalam penanaman pokok dengan setiap mereka menanam sekurang-kurangnya dua pokok.
“Pencapaian ini bukan sahaja memecah rekod kebangsaan, malah penanaman tumbuh-tumbuhan tradisional tersebut juga mampu menahan hakisan tanah dan mengurangkan risiko banjir,” katanya ditemui media selepas majlis perasmian Hari Bumi Tuaran 2025.
Selain aktiviti penanaman pokok, program itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk gerai pameran alam sekitar, penyampaian hadiah bagi Pertandingan Melukis Poster serta Pertandingan Mencipta Video Alam Sekitar.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Malangang, Kiulu.
Dalam ucapannya, Tiong Sii menyatakan sokongan penuh terhadap sambutan Hari Bumi dan mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 sebagai tanda sokongan terhadap program berbentuk kelestarian berkenaan.
Pada tahun lalu, program yang sama mencatatkan penanaman sebanyak 21,000 di Tuaran. – Info X