Search

21 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan

April 23, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 21 rumah dan sebuah stor musnah terbakar dalam kejadian di Jalan SK Batu Putih, Kampung Batu Putih, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dia mangsa turut cedera melecur dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.40 pagi

Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan 21 rumah jenis tidak kekal dan sebuah stor penyimpanan barang-barang kampung terbakar 100 peratus.

“Keluasan kawasan kebakaran terlibat dianggarkan kira-kira tiga ekar dan pasukan operasi segera melancarkan operasi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan 487 meter dengan tiga aliran dan 6 pancutan sumber air dari jentera dan air terbuka.

“Terdapat 2 mangsa melecur di bahagian tangan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Operasi dilaporkan terkawal dan operasi pemadaman masih diteruskan. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X