Search

5 hari hilang tanpa jejak, adik Aniq akhirnya ditemui meninggal dunia

April 24, 2025

Info X Reporters

TAMPARULI: Kehilangan kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun sejak lima hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di tebing sungai Lakang, di sini, tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf ditemui kira-kira 3.5 kilometer dari kediamannya di Kampung Bahagia 2, di sini, pada jam 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-lima hari ini dimulakan kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Kira-kira empat jam pencarian yang memasuki hari kelima hari ini, mayat mangsa berjaya ditemui di tebing Sungai Lakang, oleh pasukan SAR.

“Jarak mayat ditemui kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan penemuan itu, Noraidin berkata operasi SAR yang diaktifkab sejak 20 April lalu ditamatkan jam 1.15 tengah hari.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat.

“Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, JHEAINS Tamparuli, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk kampung yang terbabit dalam operasi SAR selama lima hari,” katanya.

Sementara itu, Noraidin berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing serta pantau pergerakan anak dan keluarga masing-masing.

“Kita doakan supaya kejadian menyedihkan seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, mangsa, Muhammad Aniq Faiz dikatakan dilihat kali terakhir sekitar jam 1.30 tengah hari, pada 20 April lalu, sebelum dilaporkan hilang.

Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

Operasi pencarian yang dijalankan pasukan polis, JBPM Sabah yang turut menggunakan unit anjing pengesan K9 selain dibantu penduduk kampung. – Info X