KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas ratusan kotak makanan sejuk beku selepas didapati melanggar Akta Makanan 1983, 23 April lalu.
Dalam serbuan yang dijalankan di sebuah premis di Jalan Makat, di sini, pada jam 12 tengah hari itu turut menahan dua individu yang juga pekerja di premis berkenaan.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi ‘Op Taring Chiller’ itu dilancarkan hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, pasukan Task Force Perisikan Batalion 16 PGA itu membuat pemeriksaan dan mendapati makanan sejuk beku yang berada di dalam stor sejuk beku bercampur dengan makanan sejuk beku yang telah tamat tempoh dan rosak.
“Dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai pekerja premis berusia 44 dan 22 terus ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
“Pasukan operasi kemudiannya menyerahkan kedua-dua suspek dan makanan sejuk beku yang dirampas kepada Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sementara itu, Abdul Rani berkata, antara makanan sejuk beku yang dirampas ialah daging lembu, paha ayam, kentang, daging kambing dan nuget.
Katanya, terdapat lapan ‘Pallet’ yang mengandungi pelbagai jenis barang sejuk beku didapati rosak dan tamat tempoh dengan berat anggaran 560 kilogram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah 1,932,253 termasuk peti sejuk beku,” katanya. – Info X