KOTA KINABALU: Kedudukan strategik Sipitang bersempadan dengan Sarawak dan Brunei Darussalam menjadikan daerah ini berpotensi dibangunkan sebagai hab ekonomi dan pelancongan rentas sempadan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata kelebihan itu meletakkan Sipitang sebagai destinasi tumpuan di selatan Sabah.
“Kedudukan strategik Sipitang sebagai pintu masuk rentas sempadan antara Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam menjadikannya daerah berpotensi besar diterokai sebagai hab pembangunan ekonomi dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Sipitang 2025-2027 di sini, baru-baru ini.
Seramai 17 individu menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Daerah Sipitang yang bertanggungjawab membantu merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan di peringkat tempatan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Majlis Daerah Sipitang, Abdul Karim AM Zahari; Ketua Polis Daerah Sipitang, Awang Anak Suanda; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Sipitang, Hamsad Abdul Wahid dan eakil Penolong Pegawai Tadbir (Operasi) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Mohd syahril Bakar.
Isnin turut menggesa semua ahli majlis yang baharu agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, Sipitang bukan saja kaya dengan keunikan budaya dan warisan tempatan seperti Pesta Gasing dan Tamu Besar (GATA), malah mempunyai kelebihan dari segi keindahan alam semula jadi dan hasil pertanian.
“Gabungan nilai warisan, kekayaan sumber semula jadi serta lokasi strategik menjadikan Sipitang sebuah daerah yang amat berpotensi untuk dimajukan dengan lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan serantau terutama perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan bakal membawa kesan langsung kepada kawasan sempadan seperti Sipitang, Kalabakan dan Nabawan.
Jelasnya, perubahan itu tidak harus dipandang ringan kerana ia dijangka mencetuskan pertumbuhan pesat aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan persediaan awal dari segi infrastruktur, keselamatan sempadan dan kemudahan logistik perlu diberi keutamaan.
“Negara jiran kita, Brunei Darussalam sudahpun membina beberapa Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) sebagai persediaan menghadapi peningkatan aktiviti keluar masuk,” katanya.
Tambah beliau, Sabah juga perlu mencontohi pendekatan itu supaya tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana yang sesuai serta kemudahan untuk rakyat.
Isnin berkata, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi berkaitan, komuniti dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan aspirasi pembangunan itu.
“Dengan semangat bersepadu, kita mampu melonjakkan Sipitang ke tahap yang lebih tinggi sebagai hab ekonomi yang strategik di Sabah,” katanya. – Info X