Search

Lelaki ugut ibu dengan pisau ditahan polis

April 25, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengamuk dan mengugut ibunya dengan menggunakan pisau di kediaman mereka di Kampung Ranggu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia 35 tahun dilaporkan mengamuk dan mengambil peralatan tajam seperti pisau hingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bertindak agresif dengan mengancam mangsa iaitu ibu kandung suspek.

“Mangsa kemudian tampil di balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis. Berikutan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Indah dikerah ke tempat kejadian untuk membuat risikan.

“Suspek terbabit berjaya ditahan dan sebilah pisau berukuran 33 sentimeter disyaki digunakan dalam kejadian itu turut diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X